Hari ini adalah hari terakhir untuk tahun 2007. Tahun ini juga banyak pengajaran dan pengalaman baru yang aku dapat untuk menempuh hari-hari yang bakal mendatang. Antara pengalaman menarik ialah aku tertarik dengan penulisan di blog. Dan pengajaran terbaik yang aku terima adalah bersyukur dengan apa yang kita terima.
Syukur alhamdulillah ke hadrat illahi kerana masih memberi aku nyawa untuk meneruskan hidup ini seperti adanya dan dapat mengerjakan amalan-amalan suruhan-NYA. Aku rasa entri hari ini adalah terpanjang sepanjang penulisan aku, harapan aku semoga ia mendatangkan kebaikan bersama rakan-rakan blog. Maka bertimbun lah entri mengenai hari terakhir 2007.
Pengalaman bergantung kepada penerimaan seseorang tentang sesuatu perkara. Sesetengah orang mengambil sesuatu kejadian sebagai risiko untuk dibawa kedepan, ya lah mana tau sesuatu kejadian akan berlaku pada diri sendiri pula. Sesuatu kejadian itu tidak semestinya anda tempuh dalam keadaan baik sahaja malah ada juga dalam keadaan tidak baik. Jika ia berlaku dalam keadaan baik maka tiada masalah dan anda harus terus mengekalkannya. Akan tetapi jika ia hadir dalam keadaan yang tidak baik, jangan anda terus senarai hitamkan malah anda harus menukarkan atau menafsirkan ia ke arah positif. Contohnya pengalaman semasa belajar, bekerja, komuniti dan apa sahaja anda lakukan.
Pengalaman aku yang paling berharga untuk tahun ini adalah berkenaan alam pekerjaan aku. Dimana aku dapat peluang bekerja di kawasan yang besar dan mempunyai ribuan tenaga kerja. Kalau ditafsirkan dalam bidang kerja aku iaitu ICT (Teknologi Maklumat Dan Komunikasi), maka aku tempuhi pelbagai masalah-masalah baru disamping bekerja dalam pelbagai bangsa asing. Disamping menerima banyak tugasan, aku juga terpaksa berkomunikasi dengan pelbagai bangsa asing yang dah tentunya pelbagai ragam. Aku juga didedahkan dengan budaya kerja yang pelbagai. Pada mulanya ia merupakan satu kejutan budaya bagi aku dan alhamdulillah aku dapat menempuhnya walau pun aku sentiasa bekerja dalam keadaan tekanan.
Pengajaran pula merupakan penerimaan terhadap sesuatu kejadian buruk yang berlaku terhadap anda. Setiap kejadian buruk jangan ditaksirkan sebagai malang dan jangan semata-mata menjadikan ia sebagai balasan Allah terhadap sesuatu yang berlaku. Setiap kejadian buruk itu tersimpan seribu hikmah sebaliknya dan anda perlu hadapinya dengan sabar dan bersyukur. Fikirkan setiap kejadian buruk itu merupakan petunjuk ke arah kebaikan anda pada masa akan datang.
Pengajaran yang aku dapat dalam sekitar pekerjaan aku juga, dimana setiap kegagalan aku dalam melakukan tugas. Aku ambil ia sebagai iktibar dan membuatkan aku terus mengkaji akan kesilapan lalu menjadikan ia sesuatu idea baru untuk implementasi sesuatu tugasan.
Dan juga dalam bidang penulisan di blog. Hasilnya aku dapat belajar menulis dalam gaya aku sendiri. Sebenarnya sudah lama aku menulis di blog, sejak diperkenalkan oleh rakan blog Azlina dan Azmi pada tahun 2003. Tapi semuanya menjadi “gajah putih”, kerana ketiadaan idea dan tak tahu bagaimana dapat aku mengekalkan gaya penulisan aku. Alhamdulillah dari galakan rakan-rakan blog dan rakan-rakan luar talian (offline), aku dapat idea disamping semangat baru.
Walau macam mana pun kedua-dua keadaan tersebut memerlukan sifat kesabaran yang tinggi. Secara psikologi, anda perlu banyak memujuk diri sendiri dan jangan simpan si dalam hati anda. Anda perlu luahkan dan berbincang bersama sahabat dan keluarga anda.
Aku ambil pendekatan baru iaitu meluahkan di dalam penulisan blog. Ia mampu untuk melepaskan tekanan aku. Jika diruang komen ada pula rakan-rakan blog lain memberi kata perangsang yang baik maka lagi banyak pengurangan tekanan terhadap aku. Walau macam mana pun 2007 dapat menjadikan aku seseorang yang sentiasa berfikir ke arah kebaikan dan sentiasa membuatkan bersyukur.
Selamat Datang 2008!