Blogger Kacak Dan Blogger Cun, Sayang Kamu!
Maaf, mungkin tajuk entri kali ini tidak mengambarkan isi kandungan tetapi ianya masih bersangkut paut. Fikiran dan hati aku masih terganggu. Tubuh badan terasa terlalu penat dan letih. Mungkin beberapa hari tidak dapat tidur lena, mungkin terlalu banyak fikir seperti tiada penghujung.
Terus terang sejak entri aku memohon bantuan dari pembaca-pembaca dan rakan-rakan blog ini, aku, isteri dan anak-anak agak tenang kerana mampu untuk mengisi perut dengan agak selesa. Bermula dengan bacaan doa makan, setiap suapan diiringi air mata, sungguh tidak menduga perubahan berlaku setelah menerima bantuan awal dari blogger kacak dan blogger cun, alhamdulillah.
Terima kasih kepada orang kuat yang memulakan misi bantuan setelah beberapa perbincangan dilakukan untuk meminta pendapat dan bertukar-tukar fikiran. Keputusan aku untuk menerbitkan entri bantuan sudah lama terpendam tapi aku perlu fikir impak baik dan buruknya. Orang kuat terbabit ialah saudara Azman Ishak, saudara Zariel dan Kak Jie.
Setiap komen yang diterima di entri tangisan aku, isteri dan anak-anak dan juga pautan dari entri-entri blog lain (linkbacks) dibaca dengan juraian air mata aku dan isteri. Anak-anak aku yang melihat seperti terpinga-pinga menduga apa yang telah berlaku. Begitu tersentuh dengan penerimaan kamu yang tidak berbelah bagi.
Aku mungkin sempat memberi ucap balas kepada setiap komen di blog ini tetapi mungkin tidak kepada blog-blog lain. Merujuk kepada pautan-pautan yang dapat dikesan begitu ramai yang memberi tindakbalas, mungkin dikesempatan akan datang aku akan bertandang ke setiap entri-entri tersebut.
Setiap kata-kata semangat dari kamu semua akan aku dan isteri jadikan tongkat untuk aku dan isteri terus bangun. Ia juga menjadikan kata-kata hikmat dalam membentuk kekuatan bagi aku dan isteri untuk lebih kuat menghadapi hari-hari akan datang. Doa adalah senjata mukmin, mudah-mudahan barakah doa dari kamu juga bakal mempermudahkan perjalanan hidup aku dan isteri.
Terima kasih juga kepada abang Hydir yang mereka khas riben Blogger – We Care, aku dan isteri cukup terharu, tidak mampu berkata apa untuk mengantikan betapa besarnya bentuk perrtolongan beliau. Logo tersebut tersebut jika kamu letak di blog kamu dan pautkan (link) ke entri khas beliau bakal menyumbang sebanyak RM1. Jika kamu ingin membantu, aku juga telah meletakkan riben tersebut di sudut sebelah kanan blog ini. Lagi sekali aku cukup terharu.
Denaihati juga telah menyediakan kempen khas untuk aku. Katanya, sesiapa yang tidak mampu untuk memberi bantuan secara langsung, bolehlah klik kepada banner beliau untuk dapatkan kutipan sebanyak RM0.30 setiap klik. Lagi sekali aku begitu terharu. Aku juga meletakkan banner ini disetiap helaian entri supaya memudahkan misi bantuan.
Aku juga tidak menduga penyertaan aku di laman ping blog, Geng Blogger oleh saudara Ben memberi impak yang besar dalam misi bantuan ini. Terima kasih kepada kamu yang bertungkus lumus menjadikan misi bantuan ini menjadi kenyataan. Terima kasih geng blogger atas kewujudan halaman tersebut.
Twitter dan Facebook juga banyak membantu dalam memperluaskan bantuan tersebut.
Aku, isteri dan anak-anak dengan tulus hati mengucapkan ribuan terima kasih kepada kamu semua yang sudi membantu walaupun ramai antara kamu yang tidak pernah bersua muka. Aku kagum dan bersyukur kerana kamu cukup bermurah hati menghulurkan tangan mengurangkan beban aku dan keluarga walaupun tidak mengenali antara satu sama lain.
Sekali lagi kepada semua pembaca-pembaca, blogger kacak dan blogger cun yang memberi sumbangan dan menyertai misi tersebut, aku dan isteri ucapkan ribuan terima kasih yang tak terhingga. Aku dan isteri mendoakan semoga kamu semua dirahmati ALLAH dan dilimpahi selimpah limpahnya rezeki.
PS – mungkin ada linkbacks yang aku tak dapat kesan, jika ada, sila tinggalkan pautan tersebut di ruang komen (mungkin ramai diantara penulis blog dari blogspot)

55 Comments to “Blogger Kacak Dan Blogger Cun, Sayang Kamu!”