Dari Sahabat Yang Berpura-pura Kepada Sahabat Berhati Malaikat
Maaf! Catatan berikutnya adalah catatan yang beremosi. Mudah-mudahan kepura-puraan aku terjawab. Kamu yang tidak gemar akan catatan beremosi tidak sepatutnya berada disini. Dan sudah pastinya catatan ini panjang dari biasa.
Sehingga kini sememangnya aku semakin susah. Semakin sukar. Semakin resah. Aku juga masih tercari-cari apa makna persahabatan dan masih memerlukan keajaiban untuk terus hidup.
Aku tidak menyangka sahabat yang berhati malaikat membantu aku tatkala aku dalam kekeliruan hidup. Tatkala aku, anak-anak dan isteri merengkuk menahan lapar. Tatkala aku, anak-anak dan isteri sedang menangisi nasib diri.
Malah aku yang pura-pura ini tidak menyangka sahabat itu juga yang memberi sumbangan ikhlas berupa duit dan bantuan lain yang memerlukan medium perantaraan itu. Air mata gugur kebumi bersama anak dan isteri kerana tidak menyangka ada sahabat berhati mulia menghantar beras dan barang-barang dapur tatkala aku tercari-cari dimana aku nak dapatkan sebutir beras. Syukur, alhamdulillah.
Sumpah aku tidak menyangka selama ini aku diperhati. Sumpah aku tidak menyangka kamu ingin berKAWAN dengan aku. Sumpah masa yang kamu berikan, aku terlalu menghargainya. Sumpah kerana harapan yang kamu berikan masih tersemat di dalam hati. Sumpah memori indah bersama masih tersemat dalam kotak fikiran aku yang pura-pura ini.
Dan aku, anak-anak dan isteri masih menghargainya sehingga menjadi perbualan utama dalam sembang-sembang keluarga. Aku tak pernah anggap kau KAWAN tapi aku lebih mengangkat martabat kamu sebagai seorang SAHABAT!
Sahabat yang amat rapat dengan dunia aku. Sahabat yang berjumpa di dunia realiti. Sahabat yang kenali ahli keluarga aku, anak isteri. Sahabat yang pernah bertandang kerumah aku dan membawa khabar berita gembira. Sahabat yang telah meletakkan harapan pada diri aku yang kamu anggap pura-pura.
Aku masih ingat kamu bersusah payah dari jauh menjemput aku untuk kejar cita-cita. Aku masih ingat bantuan kamu menjemput aku untuk punyai asas atas harapan yang kamu sampaikan. Aku masih ingat kamu memanyungi makan minum aku dan anak-anak disuatu tempat yang enak santapannya.
Namun aku keliru kenapa mudah benar kaca persahabatan tersebut berderai? Adakah kerana tiada ucapan terima kasih dari aku yang pura-pura ini atas sumabngan dan bantuan? Adakah kerana hutang yang aku tidak minta dan hutang yang aku minta? Adakah kerana aku tidak menjalankan harapan yang telah kamu berikan sebelum ini?
Demi allah aku terasa hati. Demi allah aku tidak pernah berniat untuk melakukan sedemikian maksudmu. Demi allah aku sememangnya semakin sukar hidup ini. Demi allah aku perlukan persahabatan antara aku yang berpura-pura dengan kamu yang berhati malaikat!
Aku tak kisah walau apa sekalipun kamu ingin gelarkan aku. Aku tidak kisah jika kamu tidak mahu memahami diri ini. Aku manusia biasa yang melakukan perkara yang tidak jujur. Aku manusia pura-pura yang tidak menghargai persahabatan. Aku manusia pura-pura yang tidak berterima kasih. Aku manusia pura-pura yang tidak kenang budi.
Namun aku, anak-anak dan isteri tidak pernah berputus asa berdoa demi kesejahteraan sahabat berhati malaikat. Semoga hidup kamu bertambah bahagia. Semoga hidup kamu dilimpah selimpah limpahnya rezeki. Biarlah bumi allah yang aku pijak dan langit yang aku junjung ini menjadi saksi segalanya.
Aku faham sebagai manusia biasa tiada sesiapa dapat membaca hati seseorang manusia yang lain. Apa yang tersurat tidak menggambarkan apa yang tersurat. Tetapi kamu berhak untuk lakukan apa yang kamu suka. Aku? Aku yang pura-pura?
Biarkan, biarkan aku yang pura-pura ini menanggung kesakitan yang semakin mencengkam. Biarkan aku yang pura-pura ini sentiasa diganggu ketidakpuasan darah daging sehingga sanggup busuk hati menganggu hidup anak isteri aku. Biarkan aku dan isteri tidak mampu mencari rezeki seterusnya. Biarkan aku, anak-anak dan isteri mati kelaparan.
Aku yang berpura-pura tidak punyai didikan agama yang tinggi. Aku yang berpura-pura ini tidak tahu menjaga hati sahabat berhati malaikat seperti kamu. Aku yang berpura-pura ini tidak dilahirkan dalam keluarga mulia seperti kamu. Aku yang berpura-pura ini lahir dari keluarga yang bermasalah.
Tapi jauh dipelusuk hati ini, aku yang berpura-pura ini sedang mendalami islam. Aku yang berpura-pura ini cuba untuk buatkan orang lain senang dengannya. Aku yang berpura-pura ini cuba lari dari kekal bermasalah dari keluarga bermasalah.
Persoalannya mungkin kamu menganggap catatan ini juga merupakan catatan pura-pura dari aku. Aku tahu catatan itu sudah diterbitkan bermakna kamu sudah berkecil hati dengan aku yang hidup berpura-pura ini.
Namun aku, anak-anak dan isteri benar-benar mohon dan maaf atas kekhilafan diri. Terima kasih atas segala bantuan. Kamu berjaya buat aku rasa bersalah. Kamu juga berjaya buatkan isteri aku bersalah kerana turut membaca catatanmu. Sempat juga aku berpesan pada isteri tentang hutang. Supaya jika aku sendiri tidak dapat lunaskan sebelum aku mati, isteri aku akan uruskannya.
Yang pasti aku tidak pernah lupakan kamu yang berhati malaikat.

17 Komen untuk “Dari Sahabat Yang Berpura-pura Kepada Sahabat Berhati Malaikat”