Tolong, Jangan Ganggu Aku!
Lebih kurang 2 tahun sebelum ini, mungkin kejadian misteri ke atas diri aku bermula. Tidak ada kepastian bila ianya berlaku bermula tapi aku dapat mengagak berdasarkan perubahan dan kejadian pelik yang telah berlaku. Percayalah tiada sesiapa yang inginkan perkara pelik atau misteri bertandang termasuk aku, isteri dan anak-anak.
Aku masih ingat seminggu pertama setelah aku terpaksa ambil keputusan berhenti kerja. Ya terpaksa kerana syarikat yang menggajikan aku tidak berupaya untuk membiarkan tempat aku tidak produktif. Aku terpaksa akur kerana aku sendiri tidak mampu untuk berkhidmat sebaik sebelum aku ’sakit’.
Minggu pertama macam-macam mimpi pelik yang menganggu tidur aku. Sudahlah senak perut menahan sakit fizikal, bengkak-bengkak, diganggu dengan mimpi ngeri pula yang sebelum ini tidak pernah terjadi sepanjang hidup aku.
Mimpi pertama aku mimpi isteri seorang teman. Didalam mimpi tersebut aku mengejar isteri teman tersebut lalu menikamnya membabi buta. Dari atas kepala, bertubi-tubi didada dan akhirnya mengelar leher tanpa belas. Setelah aku puas melakukan sedemikian, tiba-tiba ada sesuatu berdiri di atas bahu aku, sesuatu yang beruapa seperti pontianak. Mengilai-ngilai, lama kelamaan aku terasa aku tidak dapat menampung berat lalu berlutut, sakit tidak tertahan.
Aku bingkas terbangun seperti nafas aku terputus dan sedarnya aku, aku sudah berdiri tegak dihujung katil. Dalam masa yang sama menahan sakit yang tidak terperi di bahagian bengkak seperti bengkak aku di ikat tali dan disentap-sentap! Isteri aku yang ketika sedang nyenyak turut terbangun melihat kejadian pelik. Kami sama-sama berisytifar sama-sama. Astagfirullah al azim!
Dalam minggu yang sama juga, aku diganggu ketika aku sedang menulis blog ini. Huh, meremang pula tangan aku menulis entri ini. Tangan aku berbintik-bintik dan bulu tangan berdiri tegak. Ah, mungkin perasaan aku. Ketika itu sepertinya ada sesuatu sedang memerhati di belakang aku, sekejap rasa aku sebelah kiri, sekejap kemudian rasanya di sebelah kanan. Meremang jangan cakap, tengkuk memang meremang habis.
Sejuk, peluh-peluh jantan mengalir dari dahi dan seluruh badan. Tidak panas tapi badan menggigil sejuk. Beranikan diri sambil berzikir dan membaca ayat suci, lalu menoleh kebelakangan tetapi tiada apa-apa. Tak sempat aku shutdown laptop, aku terus tutup dan terus menuju kebilik, tidur dalam ketakutan.
Esok malam pula, anak bongsu aku pula buat hal. Sepanjang hidupnya sejak lahir tidak pernah lihat dia menangis ketakutan seperti itu. Aku dan isteri terkejut dan cuba memujuk yang ketika itu baru cuba nak lelapkan mata. Menangis dan menjerit,
Mama, papa, adik takut, adik takut.
Aku dan isteri cuba lagi memujuk dan terus pujuk tapi jeritan anak aku makin kuat seperti nampak sesuatu.
Adik kenapa? Cakap dengan papa. Papa ada sini jangan takut, papa ada sini.
Aku cuba memujuk. Jawabnya,
Hantu, hantu, adik takut, adik takut, adik nak pergi rumah atok.
Sambil menunjukkan arah satu sudut bilik berhampiran syiling. Tersentap aku dan isteri mendengar jawapan anak aku. Anak aku seorang lagi pun tersedar kerana situasi hingar ketika itu. Aku tidak nampak apa yang dimaksudkan tetapi aku dapat merasakan ada sesuatu.
Aku tidak pernah beritahu kepada isteri aku sebarang apa yang aku rasa kerana isteri sangat takut dengan perkara-perkara macam tu. Tanpa fikir panjang, aku buat keputusan bawa isteri dan anak-anak tidur di ruang tamu di itngkat bawah. Semua lampu dibuka, pujuk anak-anak sehingga mereka berhenti menangis dan tertidur. Sampai subuh kamitertidur diruang tamu.
Dalam kejadian lain pula isteri aku pula yang diganggu. Ketika itu aku dan anak-anak dibilik tidur di tingkat atas, anak bongsu aku merengek hendak susu. Isteri aku turun ke dapur untuk memenuhi permintaan anak aku. Seingat aku ketika itu dalam jam 1 pagi. Tak sampai 10 minit, isteri dalam keadaan cemas berlari ke bilik,
Bang, apa yang berlaku ni bang, apa yang dah berlaku?
Aku terpinga-pinga dan tanya apa yang dimaksudkannya. Katanya ketika sedang siapkan susu ke dalam botol seperti ada sesuatu yang menarik bajunya. Mulanya disangka anak bongsu aku mengikuti, tanpa memandang ke belakang,
Nanti lah dik, mama buat la ni.
Masih menunggu untuk panaskan air. Kali ini rambutnya pula seperti ditarik-tarik dan inilah yang mendatangkan pelik lalu memandang kebelakang, tiada sesiapa pun dibelakang. Mula perasaan seram dan takut menjelma lalu terus melarikan diri keluar dari dapur menuju ke bilik.
Aku turun kedapur untuk sambung keje menyiapkan susu anak aku, tiada apa yang berlaku tetapi aku seperti dapat rasakan seperti ada mata yang sedang memerhati. Apakah?
Setiap kejadian masih lagi misteri dan aku tak pasti sama ada ianya perasaan aku semata-mata atau sesuatu perkara yang melibatkan kebetulan!?
Rakan-rakan yang berkunjung atau melawat pasti akan sesat untuk sampai kerumah aku. Kata mereka seperti tidak nampak rumah aku. Aku anggap ianya perkara biasa lagi, mungkin kerana rumah agak tersorok sebab rumah jiran kiri dan kanan adalah rumah yang telah diubahsuai dan semakin besar berpagar batu. Mungkin rumah aku terlindung.
Misteri makin menjadi pelik apabila mereka yang datang untuk pertama kali kerumah aku mengatakan, rumah aku PANAS. Pada mulanya aku fikirkan panas dari segi suhu dirumah tetapi aku silap, mereka maksudkan rumah aku seperti ada sesuatu. PELIK!
Sehingga lengkap seminggu yang membuatkan aku, isteri dan anak-anak ambil keputusan untuk pindah dari rumah sebelum ini. Ketika itu waktu petang sebelum maghrib. Aku ambil keputusan untuk memasak untuk hidangan makan malam. Masakan bujang sahaja dan isteri aku masih berada di tempat keje, mungkin balik lambat sikit katanya.
Aku cuba menu ayam bakar kegemaran anak-anak aku dan dibakar menggunakan mini oven. Seperti biasa aku tetapkan masa di mini oven tersebut dan menunggu. Masih sebelum maghrib lagi, anak-anak aku yang sudah mula menghidu bau ayam bakar terus menerpa. Mereka tak sabar nak meratah ayam tersebut. Penggera masa berbunyi, aku terus hidangkan. Terkejut aku, ayam yang sememang dibeli bahagian peha tidak masak seperti biasa!
Dibahagian luar kelihatan agak garing tetapi dibahagian dalam seperti tidak luak seperti ayam yang belum dibakar langsung. Tetapi aku tidak fikir apa-apa selain terus membakar kembali ikut masa yang ditetapkan. Tapi malangnya masih gagal! Aku beristighfar banyak-banyak. Tak puas hati, aku goreng pula ayam tersebut. Kedua-dua ketul ayam yang aku cuba masak hanya berubah masak diluar tetapi tidak di dalam!?
Kali ini sememangnya aku benar-benar pelik! Tidak menunggu lama aku membawa isteri dan anak-anak terus berpindah! Sakit bengkak semakin terus pecah berdarah dan bernanah. Subhanallah apa sebenarnya yang terjadi?
Hingga kini masih menjadi misteri, banyak tempat kununnya orang bijak pandai dalam ilmu perubatan melihat-lihat keadaan rumah dan keadaan diri aku. Dimana kedengaran ada orang boleh buat pasti aku mencuba tetapi tidak membawa sebarang perubahan sehinggalah entri tangisan aku, isteri dan anak-anak diterbitkan.
Malam tadi dalam jam 2 lebih, aku diganggu lagi. Kali ini lebih teruk dari yang lalu. Aduh meremang pula tengkuk dan tangan aku. Pagi tadi, aku mengadu kat abang Hydir pun, dia turut sama merasa apa yang aku rasa.
Aku masih tidak dapat lelapkan mata, lalu ambil keputusan untuk tengok blog dan membalas beberapa email yang dihantar setelah misi bantuan blogger kacak dan blogger cun, sayang kamu dilancarkan. Sedang asyik aku membaca setiap satu email, komen dan entri-entri berkitan di blog-blog rakan, tiba-tiba dengar bunyi kucing menjerit amat kuat, lagi kuat dari kucing menjerit ketika terpijak ekor.
Seraya dalam terdengar kucing menjerit, tiba-tiba suasana di ruang tamu lokasi aku duduk seperti berubah, badan aku berpeluh-peluh, meremang tengkuk dan tangan, badan sejuk, sangat sejuk. Dalam masa yang sama seperti sesuatu bergerak pantas dari segala pnejuru seperti kamera di zoom-zoom mengelilingi aku.
Takut dengan keadaan aku, aku cuba bersandar didinding rumah kerana aku cuba selamatkan serangan dari depan. Laju, aku toleh kiri dan kanan, depan dan atas. Aduh apa lagi yang menganggu aku?
Tolong jangan ganggu aku!
42 Komen untuk “Tolong, Jangan Ganggu Aku!”